Wednesday, June 23, 2010

Labbaikallah humma .. (siri 3)

Sumber Berita Dari UTUSAN MALAYSIA


Jemaah umrah terkandas pulang esok

KUALA LUMPUR 21 Jun - Seramai 40 rakyat Malaysia yang terkandas di Mekah dijadual pulang ke tanah air Rabu ini dengan menaiki pesawat Pakistan International Airlines (PIA).

Pengurus Besar Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji (TH), Rashid Hussein berkata, kesemua jemaah umrah tersebut terkandas di Mekah setelah agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan mereka dilaporkan menghilangkan dokumen perjalanan tersebut.

Sehubungan itu katanya, Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah telah membuat urusan dengan agensi yang bertanggungjawab dengan mengeluarkan pas perjalanan kecemasan dan berjanji jemaah terlibat akan tiba di tanah air Rabu ini setelah transit di Karachi, Pakistan.

"Pejabat Konsul Jeneral di Jeddah telah mengeluarkan pas perjalanan kecemasan pasport antarabangsa untuk membolehkan jemaah terlibat pulang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini melaporkan sekumpulan jemaah umrah Malaysia yang sepatutnya tiba di tanah air Rabu lalu gagal berbuat demikian berikutan pasport yang dipegang agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan mereka dilaporkan hilang.

Daripada pemantauan pihak Konsul Jeneral dan Kementerian Luar, ujar Rashid, tiket dan semua nama jemaah terbabit terdapat dalam senarai penerbangan PIA.

Beliau memberitahu, setakat ini tidak terdapat sebarang kesilapan atau kemungkinan jemaah akan terkandas kerana pihak agensi telah berjanji akan bertanggungjawab sepenuhnya.

Sehubungan itu kata Rashid, TH dalam perkara ini hanya membantu sekadar yang boleh dengan menghubungi Konsul Jeneral dan Kementerian Luar dalam urusan mengeluarkan dokumen perjalanan.


Rakyat kita terkandas di Mekah

TEMERLOH 20 Jun – Seramai 43 rakyat Malaysia yang mengerjakan umrah pada musim cuti sekolah ini gagal pulang ke tanah air apabila terkandas di Mekah sejak Rabu lalu.

Jemaah tersebut yang terdiri daripada 17 lelaki dan 26 wanita sepatutnya tiba ke tanah air pada hari berkenaan tetapi gagal berbuat demikian berikutan pasport yang dipegang oleh agensi pelancongan yang menguruskan perjalanan mereka dilaporkan hilang.

Perkara itu dimaklumkan oleh seorang guru, Meor Ahmad Shamsuddin Meor Mohd. Afendi, 52, apabila empat ahli keluarganya termasuk isteri, Roshana Mohamad, 52, yang mengikuti rombongan tersebut gagal pulang ke tanah air berikutan masalah tersebut.

Katanya, turut mengikuti rombongan tersebut ialah ibu mertuanya, Hawa Salleh, 72, dan dua adik iparnya, Maafor Mohamad, 23, dan Noraini, 27.

Meor Ahmad berkata, kejadian itu diketahui selepas isterinya memaklumkan insiden tersebut menerusi telefon.

Dia kesal dengan kelemahan agensi pelancongan terbabit yang menyebabkan pasport antarabangsa ahli rombongan berkenaan hilang.

Menurutnya, kelemahan itu tidak dapat dimaafkan kerana ia menyusahkan ahli rombongan dan waris mereka yang majoritinya merupakan guru yang akan memulakan sesi persekolahan esok.

“Empat ahli keluarga saya bersama rombongan lain berada di Mekah selama dua minggu sejak cuti persekolahan bermula.

“Pihak agensi pelancongan dikatakan menyalahkan ahli rombongan sedangkan semua pasport dipegang oleh mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Meor Ahmad Shamsuddin memberitahu, isterinya memaklumkan bahawa semua jemaah ditempatkan sementara di sebuah hotel di Mekah sebelum menunggu kelulusan mendapat pasport baru yang diusahakan Kedutaan Malaysia di Arab Saudi.

Sehubungan itu, dia mengucapkan terima kasih kepada pihak kedutaan yang mengusahakan pasport baru serta perbelanjaan lain yang sepatutnya ditanggung pihak agensi pelancongan terbabit.

“Dengan pertolongan pihak kedutaan, mereka boleh balik ke Malaysia menggunakan mana-mana syarikat penerbangan yang beroperasi di situ.

“Jika menggunakan Malaysia Airlines (MAS), mereka dijangka tiba ke tanah air esok,” katanya.

Bagaimanapun, Meor Ahmad Shamsuddin kesal apabila isterinya memaklumkan bahawa agensi terbabit mahu menggunakan syarikat penerbangan Pakistan yang dikatakan lebih murah berbanding syarikat penerbangan lain.

“Jika menggunakan syarikat penerbangan Pakistan, mereka dijangka tiba di Malaysia pada Jumaat ini iaitu seminggu selepas sesi persekolahan dibuka,” katanya.

Tambahnya, dia juga sangat risau kerana isteri dan ahli keluarganya yang lain kini kehabisan wang.

Meor Ahmad Shamsuddin turut menggesa kerajaan memantau agensi-agensi pelancongan yang menganjurkan pakej umrah.


Ejen haji dan umrah menganiayai pengguna

SABAN hari, kita mendengar aduan mengenai ejen pelancongan haji dan umrah. Sebenarnya, perkara ini sudah lama berlaku. Ejen pelancongan haji dan umrah suka mempergunakan agama bagi kepentingan sendiri. Mereka menjanjikan itu dan ini kepada pelanggan, tetapi apabila tiba di tanah suci, lain pula halnya. Mereka mempergunakan agama sebagai alasan, dengan mengatakan: “Ini semua dugaan Tuhan”, “Kita mesti bersabar” dan sebagainya.

Ejen pelancongan haji dan umrah perlu menghentikan taktik seperti ini dan strategi perniagaan yang tidak beretika. Mereka sepatutnya memberikan perkhidmatan yang terbaikkepada pelanggan dan bukannya mempergunakan agama bagi kepentingan sendiri. Jika tidak, mereka akan menjadi seperti sebilangan ustaz (semakin ramai) yang hanya menggunakan agama untuk mengaut keuntungan. Saya harap ejen pelancongan haji dan umrah sentiasa dipantau supaya mereka tidak menganiayai pengguna.


No comments:

Post a Comment